Teks : Aishah Jamal
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Terang menyuluh cahaya pelita,
Tampak meriah Tanah Juaseh,
Salam ukhuwah pemula tinta,
Harap bersambut terjalin kasih.
Sudah lama saya berkeinginan untuk mempunyai ruangan tinta untuk saya meluahkan rasa, berkongsi perasaan, mencatat pengalaman dan pelbagai lagi perkara yang ingin dicorakkan dalam ruangan ini. Alhamdulillah, diizinkan jua oleh yang Maha Esa untuk saya menukil kalam buat tatapan diri dan diharap juga para pembaca yang dikasihi.
Asbab menulis adalah menyampaikan. Penyampaian pula boleh datang dalam pelbagai bentuk. Bukan sahaja ucapan. Malahan penulisan juga adalah medium penyampaian maklumat berkesan yang boleh ditatap dan dibaca secara berulang-ulang. Saya menulis kerana ingin menyampaikan maklumat. Saya berharap blog ini boleh menjadi medium interaksi yang baik untuk berkongsi pendapat dan buah fikir.
Saya perkenalkan diri dengan nama yang telah dibawa sejak lahir iaitu Siti Aishah Jamal. Manja dengan panggilan Eca. Lebih manis jika dipanggil Aishah. Saya dilahirkan dan membesar di Muar, Johor. Bersekolah rendah di SK Seri Menanti. Seterusnya melalui fasa kehidupan sebagai pelajar sekolah menengah di SMK Seri Menanti. Setelah itu, saya menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam dalam bidang Asasi TESL. Berpeluang untuk menuntut ilmu dalam bidang Bahasa Melayu Komunikasi juga di UiTM Shah Alam.
Jujur saya katakan, saya bukanlah insan bijaksana yang selalu mendapat markah tinggi dan anugerah sewaktu di bangku sekolah. Saya seorang yang sangat pemalu dan pendiam. Orang nak bercakap dengan saya pun fikir 10 kali. Bila dalam kelas pun, saya selalu rasa diri terasing oleh sebab saya tak pandai berkomunikasi dengan baik. Hanya duduk berdua bersama teman rapat saya dalam kelas.
Tapi bila saya mula kenal dunia di Universiti. Segalanya berubah. Saya pandang kehidupan ini dari sudut berbeza. Saya tidak lagi biarkan diri dibuli. Saya turut serta persatuan untuk bergaul dengan orang lain. Saya turun surau dan masjid ntuk mendapatkan ilmu ukhrawi. Saya mantapkan lagi keyakinan diri supaya tampak lebih bersedia. Saya bertekad untuk menjadi insan yang lebih baik.
Pengalaman yang saya tak pernah lupa sepanjang belajar di UiTM adalah apabila diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Naib yang Dipertua Kolej Mawar. Tidak sekali pun merasa bangga dengan jawatan ini. Bila difikirkan tentang amanah yang perlu dipikul. Namun, saya berfikiran positif dan melaksakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Saya juga berkesempatan untuk menuntut ilmu berkenaan pantun, puisi dan cerpen. Saya berjumpa dengan kenalan yang sudah banyak ilmunya dalam bidang ini.
Minat dalam bidang ini mula dipupuk sewaktu di tingkatan 4. Saya dipilih oleh Cikgu Hasri untuk mewakili Daerah Muar ke Bengkel Penulis Muda Johor. Saya didedahkan tentang puisi dan cerpen dalam bengkel ini.
Setelah itu, bila majalah sekolah mencari karya penulisan. Saya hantar hampir 10 puisi dan 2 cerpen. Semuanya disiarkan oleh pihak sidang redaksi. Saya kira ianya satu permulaan yang baik untuk karya saya. Malangnya selepas itu saya hilang arah. Waktu itu, saya mudah putus asa. Saya telah hantar karya ke majalah dan akhbar. Tiada pun yang tersiar. Saya beranggapan bahawa saya tidak berbakat dan karya tidak layak disiarkan.
Sehinggalah di peringkat Ijazah, kesedaran itu datang kembali. Baru saya faham situasi sebenar setelah rajin bertanya dan menimba ilmu dengan lebih banyak. Mana kisahnya pihak akhbar dan majalah kalau karya tidak berkualiti. Padahal ada beratus lagi karya menunggu. Pesan seorang rakan kepada saya.
Kisahnya pula waktu saya duduk dalam kelas di semester 1. Saya berbual-bual dengan pensyarah. Saya bertanyakan tentang bagaimana kalau saya nak turut serta bengkel penulisan ataupun apa-apa pertandingan penulisan. Pensyarah saya cakap, kalau ada nanti saya maklumkan. Waktu di semester 4, beliau hubungi saya dan maklumkan tentang bengkel penulisan kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya bersetuju dan akhirnya dapat juga menimba ilmu dengan penulis hebat. Saya juga dapat berjumpa dengan penulis novel yang saya minati iaitu Ana Balqis. Di bengkel itu, saya didedahkan dengan cara untuk menulis cerpen dan puisi dengan lebih mendalam.
Sampailah sekarang, saya masih lagi menuntut Ilmu. Saya meminati pantun, puisi dan cerpen. Sekali sekala saya juga suka menulis dalam bahasa Inggeris. Penyampaian dalam bahasa Inggeris lebih santai. Namun sekadar untuk coretan bolehlah.
Saya suka membaca buku motivasi, novel, Antologi Puisi dan Cerpen. Kadang-kadang saya suka belek buku resepi masakan. Bukunya di facebook lah bukan buku betul-betul.
Dengan adanya blog ini, In Syaa Allah, saya akan berkongsi tentang catatan harian saya, pengalaman diri, berkongsi tips serta maklumat dan pelbagai lagi.
Moga salam ukhuwah saya bersambut. Harapnya blog ini dapat memberikan manfaat kepada semua.
Terima kasih kerana sudi membaca. Moga Allah tautkan hati kita sesama insan.
Comments
Post a Comment