Kerjaya Si Pekerja

Teks. : Aishah Jamal

Teruna bertiga berbual rancak,
Sambil berehat tepian paya,
Hasrat ingin mendaki puncak,
Berbekal usaha pasti berjaya.

Sudah hampir 2 bulan saya berkhidmat sebagai guru ganti. Mendidik pelajar di sebuah sekolah swasta yang terletak di Shah Alam.  Bulan lepas, Guru besar memanggil saya ke biliknya. Beliau menawarkan kepada saya untuk terus mengajar di sekolah tersebut. Gembira rasa hati bukan kepalang. Memang menjadi seorang pendidik adalah cita-cita yang telah saya sematkan sejak dari bangku sekolah lagi. Namun, hati saya berbelah bagi. Saya telah merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana awal tahun hadapan. Hasrat ini telahpun saya sampaikan kepada ahli keluarga tercinta.

Saya ingat lagi bila cakap pada ayah, saya dapat tawaran jadi cikgu.
Ayah pun cakap.

"Tak payah sambung master lah. Jadi cikgu je. "

Saya tetap dengan pendirian. Ayah akur dengan keputusan itu. Ayah juga tahu saya memang nak sambung belajar untuk mengikut jejak langkah akak.

Suka saya ingin mengimbas kembali kenangan sewaktu mula-mula usai belajar. Julai 2017, waktu tamatnya belajar di UiTM. Sebelum itu, tak fikir pasal kerjaya yang terbaik sebagai graduan baru. Saya hanya fikir nak kerja.Bulan lapan, saya ditawarkan bekerja sebagai seorang telemarketer.

Saya tak pernah tahu kerja sebagai telemarketer wujud. Ternampak iklan kerja ini di mudah.my. Mula bekerja di situ bersama rakan sekelas di Universiti. Namun, disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Baru 2 bulan bekerja, kami dimaklumkan bahawa syarikat tersebut perlu ditutup. Tutup tiba-tiba tanpa notis awal. Bayangkanlah perasaan kami yang baru mula bekerja di situ. Ada yang datang dari Terengganu. Ada juga ibu yang mempunyai tanggungan ramai dan ingin membantu suami. Ada yang baru berpengalaman sebagai pekerja. Kami terpaksa akur. Masing-masing dengan haluan sendiri mencari pekerjaan lain.

Bulan 10 saya bekerja sambilan sebagai cashier di kedai jual jamu. Mengisi masa sementara menunggu tawaran kerja yang lebih baik. Sebagai cashier di situ, saya berkomunikasi dengan pelbagai jenis orang. Ada satu peristiwa yang saya tak boleh lupa sampai sekarang. Takut rasa bila diingat kembali. Saya memang dikenali dengan gadis yang suka senyum. Saya senyum dekat semua orang. Kadang-kadang  kita tidak menyangka senyuman itu boleh disalah tafsir oleh orang lain. Kisah ini tiada unsur racist ye,hanya menceritakan pengalaman. Saya perasan ada seorang lelaki warganegara Bangladesh, dia selalu pandang ke kedai dan duduk betul-betul depan kedai jamu itu. Dia bekerja berdekatan dengan tempat saya bekerja. Pada awalnya, saya tak ambil endah sangat. Sampailah satu masa, dia datang ke kedai. Dia tanya soalan yang agak pelik.

"Adik orang Malaysia ye?" Rasa nak gelak dengar. Saya nampak macam orang apa agaknya di mata dia. Saya hanya mengiyakan soalan tersebut.

"Ada ic kan?" Dia tanya IC pulak. Saya angguk lagi.

Tiba-tiba dia cakap "Nanti bila-bila, saya ajak awak jalan-jalan ke KL ea. Boleh tak?"

Oleh kerana malas nak melayan dia, saya pun cakap yang saya sibuk bekerja tak dapat jalan ke mana-mana. Dia kemudiannya ambil gambar saya dan tunjuk sambil cakap.

"Ada gambar kamu ni, boleh saya simpan sebagai kenangan."

Cuak dengar waktu dia cakap macam tu. Saya minta supaya padam dan jangan kacau saya lagi. Dia pun berlalu pergi.

Saya dapat agak gambar itu dia sebarkan pada kawannya yang lain. Kita boleh faham bahasa lelaki bila mereka berinteraksi. Dia pun memang selalu buat benda tu pada orang lain. Pada dia,  Kalau orang senyum ke, buat baik dengan dia ke, maknanya orang tu suka dekat dia. Ada pula orang yang berfikiran sebegitu. Saya langsung tak faham apa niat dia. Minggu depannya saya terus berhenti kerja.

Setelah melalui pengalaman tragis itu, saya kemudiannya bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat yang baru bertapak dalam industri. Saya belajar untuk menguruskan program, bina networking, strategi pemasaran, Ilmu penulis upahan dan sebagainya. Ilmu itu memang berguna untuk memantapkan lagi kemahiran diri. Berlaku sedikit permasalahan, syarikat itu juga perlu diberhentikan seketika.

Saya seterusnya mengajar di Pasti. Mendidik anak-anak berumur 4 hingga 6 tahun. Walaupun gaji tidak setinggi mana,  tapi saya yakin dengan rezeki Allah. Pada masa yang sama,  saya ingin menimba pengalaman untuk mengajar budak-budak.

Saya bekerja di situ selama 6 bulan. Setelah menelusuri kehidupan dengan menyantuni dan mengajar anak-anak kecil itu, sekarang pula saya mendidik pelajar sekolah rendah.

Begitulah perjalanan kehidupan saya setelah tamat belajar di Universiti. Apa yang kita inginkan,  tak semuanya akan berlaku seperti yang kita rancang. Ada onak duri, cabaran dan rintangan.

Saya belajar untuk sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah menyerah kalah. Kadang-kadang rasa sedih, bila tengok kawan-kawan lain dah ada kerja yang stabil, gaji ikut pada sijil yang ada, muda-muda dah beli kereta. Saya selalu ingat pesan seorang sahabat, jalan cerita setiap orang berbeza, tidak akan sama. Kita melalui kehidupan dengan cara kita. Begitu juga mereka.

Apa yang penting, kita gali sebanyak mana ilmu, tempuhi kehidupan dengan hati terbuka. Selalu ingat yang Allah sentiasa ada dan merahmati makhluknya yang sentiasa ingin berjaya.

Moga kita dilimpahkan dengan kehidupan yang diberkati Allah.


Comments